Lapisan penyerap impak pada kerusi keselamatan kanak-kanak (child restraint system, CRS) adalah bahagian yang mempunyai keupayaan untuk menyerap daya impak semasa berlakunya perlanggaran. Ia boleh didapati di bahagian yang paling diperlukan, iaitu di sepanjang bahagian dalam bingkai dan penyandar kepala di CRS.

Terdapat dua jenis lapisan penyerap impak iaitu:
✔ Busa polistirena (expanded polystyrene, EPS)
✔ Busa polipropilena (expanded polypropylene, EPP)
EPS dan EPP adalah dua jenis plastik yang ringan, tahan lama dan murah untuk dihasilkan. Kedua-duanya digunakan dengan meluas dalam pembungkusan, penebat, membuat model dan pelbagai jenis peralatan keselamatan. Kedua-duanya mempunyai sifat fizikal yang berbeza.

EPS banyak digunakan dalam peralatan keselamatan seperti helmet dan CRS kerana harganya yang lebih murah berbanding EPP. Namun ia bersifat rapuh dan boleh kemek secara kekal. Oleh kerana sifat penebatnya yang baik, EPS juga digunakan sebagai bekas makanan dan minuman, kotak ais dan sebagai penebat bangunan.

EPP pula digunakan dalam aplikasi yang sama seperti EPS namun ianya agak mahal. Ia adalah lebih elastik dan kurang rapuh berbanding EPS dan apabila kemek sebahagiannya boleh kembali kepada rupa asalnya.
Oleh kerana kecederaan boleh terjadi apabila daya impak berpindah kepada anak anda, lapisan penyerap impak digunakan untuk menyerap daya impak tersebut sebelum ianya patah, bagi mengelakkan dan mengurangkan daya impak daripada diserap oleh anak anda lalu meminimumkan kecederaan. Lapisan penyerap impak juga bertindak sebagai medium penghalang antara anak anda dan bingkai CRS yang keras dari sebarang objek lain seperti pintu kenderaan atau tingkap.
Oleh sebab sifatnya yang rapuh, kerap kali ibubapa berhadapan masalah busa EPS yang patah ketika membuka alas CRS untuk membasuhnya.

Berhati-hatilah ketika ingin mencuci CRS kerana jika busa EPS pada CRS telah patah, ia perlu diganti baru atau keseluruhan CRS perlu ditukar!