Tambatan Atas ISOFIX
Mengikut piawaian ECE R44/04, perenggan 2.14.5 menyatakan bahawa “tambatan atas ISOFIX” bermaksud:
✎ Ciri pada kenderaan seperti cangkuk berbentuk bar
✎ Terletak di bahagian yang ditetapkan
✎ Direka untuk menerima cangkuk tali tambatan ISOFIX (pada kerusi keselamatan kanak-kanak) dan memindahkan daya impak kepada struktur kenderaan.
Tambatan atas ISOFIX adakalanya perlu digunakan bersama-sama tambatan bawah ISOFIX (lihat https://goo.gl/DckvzV) ATAU tali pinggang keledar untuk mengurangkan putaran atau tujahan ke hadapan pada kerusi keselamatan kanak-kanak (child restraint system, CRS) semasa kemalangan berlaku.
⚠️ Kenalpasti keperluan penggunaannya dengan merujuk kepada manual CRS ⚠️
Gambar berikut menunjukkan terdapat pelbagai lokasi tambatan atas ISOFIX, bergantung kepada jenis kenderaan (seperti sedan, SUV, MPV, trak, ‘hatch-back’ dan sebagainya). Tambatan atas ISOFIX boleh didapati di rak belakang, but, bahagian belakang atau bahagian bawah kerusi kenderaan, atau mungkin di bumbung kenderaan.
Untuk mengenalpasti kedudukan tambatan atas ISOFIX di dalam kenderaan anda, carilah logo berbentuk sauh. Sentiasa periksa manual kenderaan anda terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada ciri ini tersedia pada kenderaan anda atau sebaliknya dan untuk memastikan bahawa tambatan yang anda temui sememangnya adalah tambatan atas ISOFIX dan bukannya cangkuk untuk kargo yang tidak dapat menahan daya kemalangan. Cangkuk kargo hanya berfungsi untuk memasang net bagi memastikan barangan diikat kemas. Ia hanya boleh menahan daya yang sedikit sahaja tidak seperti tambatan atas ISOFIX yang memang direka sebagai ciri-ciri keselamatan dalam kemalangan.