Anda baru menimang cahaya mata? Sedang menggunakan kerusi keselamatan untuk bayi? Jika ya, baca Try It Tuesday tips ini dari kami!
Kita kerap membedung bayi yang baru lahir. Malah apabila meletakkan mereka di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (child restraint system, CRS) juga kita membedung mereka. Membedung adalah tidak salah, malah ia digalakkan bagi memberikan rasa selamat bagi bayi yang sentiasa ingin rasa dipegang. Namun begitu, terdapat waktu dan cara-cara yang betul untuk ‘membedung’ bayi di dalam CRS.
Pertamanya, kita perlu pastikan suhu di dalam kenderaan adalah sesuai untuk membedung bayi. Pastikan apabila bayi dibedung anak anda tidak akan berasa terlalu panas sehingga menerbitkan masalah lain (ruam panas, menangis, etc).
Kemudian anda perlu mengeledarkan anak anda sepertimana biasa TANPA kain bedung. Pastikan tali keledar terikat kemas tanpa sebarang kelonggaran.
Seterusnya barulah anda menyelitkan kain bedung di tepi, sekeliling anak. Pastikan kain bedung tidak berada di belakang anak anda antara dirinya dan CRS terlibat. Untuk memastikan hal ini, mungkin anda perlu melipat kain bedung ke saiz yang lebih kecil. Pastikan juga ia tidak menutupi muka anak anda.
⚠️ Elakkan memakaikan tali keledar anak semasa anak anda berbedung. Ia akan menyebabkan ikatan tali keledar longgar dan tidak berada di atas bahu dan tempat yang sepatutnya. Anak anda mungkin boleh tercampak dalam kemalangan ⚠️