Jenis-jenis CRS

Secara am, terdapat beberapa jenis kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System, CRS). Berikut adalah jenis-jenis CRS:

1. Infant carrier
2. Convertible
3. Combination
4. Booster

Infant carrier

Infant carrier
CRS jenis ini adalah khusus untuk bayi yang baru dilahirkan dan boleh digunakan sehingga 10kg (bagi kategori Group 0) atau 13kg (bagi kategori Group 0+), iaitu sehingga bayi berumur lebih kurang 15 bulan. CRS jenis ini hanya boleh dipasang secara hadap belakang di dalam kenderaan, bertujuan untuk melindungi saraf tunjang dan tulang belakang bayi yang masih lemah dan sedang membesar.

Kelebihan ‘infant carrier’ :
1. Ianya dicipta khas untuk digunakan oleh bayi, sesuai dengan ketinggian dan paras tali keledar / abah-abah (harness) yang digunakan.
2. Ianya boleh diangkat keluar/masuk kenderaan tanpa mengalihkan bayi yang masih lena berada di dalamnya.

Kekurangan ‘infant carrier’ :
1. Tempoh penggunaannya amat singkat iaitu sekitar 15 bulan.
2. Anda perlu mendapatkan CRS baru (jenis lain) apabila anak anda telah mencapai had maksima penggunaan ‘infant carrier’ (contoh: 13kg). ‘Infant carrier’ boleh disimpan / digunakan untuk bayi lain selagi ianya belum mencapai tarikh luput.

Convertible CRS

Convertible
CRS jenis ini boleh digunakan untuk bayi yang baru dilahirkan hingga had berat dan/atau tinggi yang dinyatakan (bergantung pada model CRS dan ‘Group’). Terdapat beberapa pecahan kumpulan bagi CRS Convertible iaitu:
    

Group 0+/1/2/3: Bayi – 36kg (0 – 12 tahun *)
Group 1/2/3: 9kg – 36kg (2 – 12 tahun *)     Group 2/3: 15kg – 36kg (4 – 12 tahun *)   


Selain daripada itu, CRS jenis ini boleh dipasang secara hadap belakang atau hadap depan.

Kelebihan CRS ‘convertible’ :
1. Boleh digunakan secara hadap-belakang ataupun hadap-belakang.
2. Boleh digunakan oleh kanak-kanak pelbagai umur. Ia boleh digunakan untuk bayi yang baru lahir dipasang secara hadap-belakang untuk sekurang-kurangnya satu tahun (sehingga anak mencapai berat 13kg). Sesetengah CRS ‘convertible’ mempunyai had hadap-belakang yang lebih tinggi membolehkan kanak-kanak duduk secara hadap-belakang sehingga anak mencapai berat 18kg (kira-kira umur 4 tahun).
3. Sesetengah model CRS ‘convertible’ boleh ditukar kepada mod booster apabila pengguna melepasi had penggunaan booster.

Kelemahan CRS ‘convertible’ :
1. Berat dan bersaiz besar
2. Mungkin agak terlalu besar untuk bayi dan bayi pra-matang.

Combination CRS

Combination
CRS jenis ini dikategorikan dalam kumpulan dan boleh digunakan oleh kanak-kanak yang mempunyai berat seperti berikut:
     Group 1/2/3 : 9kg – 36kg (4 – 12 tahun *)
    
CRS jenis ini hanya boleh dipasang secara hadap depan sahaja.

Kelebihan CRS ‘Combination’ :
1. Sesuai untuk kanak-kanak yang sedang  beralih penggunaan abah-abah (harness) kepada booster.

Kelemahan CRS ‘Combination’ : 
1. Hanya boleh digunakan secara hadap-depan
2. Tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil, walaupun berat penggunaan minimum boleh serendah 9kg

Booster CRS

Booster
CRS jenis ini di kategorikan:

Group 2/3 : 15kg – 36kg (4 – 12 tahun*)

Booster boleh digunakan oleh kanak-kanak yang mempunyai berat 15kg – 36kg (4 – 12 tahun*) dengan syarat pengguna dapat duduk dalam CRS jenis ini menggunakan tali keledar dengan berdisiplin sepanjang berada di dalam kenderaan bergerak. Penggunaan booster dapat menaikkan badan kanak-kanak pada ketinggian yang sesuai untuk digunakan dengan tali pinggang keledar yang dicipta untuk pengguna dewasa.

Kelebihan CRS booster:
1. Harganya murah berbanding CRS ‘convertible’
2. Mudah dipasang pada kenderaan

Kekurangan CRS booster:
1. Hanya boleh digunakan oleh kanak-kanak yang boleh duduk di dalamnya dengan berdisiplin sepanjang masa

Mengapa anda tidak harus memilih CRS mengikut umur sahaja?
Ramai ibubapa gemar mencari CRS mengikut umur, tetapi ketinggian dan berat juga perlu dipertimbangkan ketika membeli CRS. Sesetengah CRS diluluskan mengikut berat pengguna, dan sesetengahnya diluluskan untuk digunakan mengikut ketinggian pengguna seperti CRS i-Size.

Disclaimer:
*merujuk kepada anggaran umur pengguna mengikut tumbesaran kanak-kanak normal. Ia tidak terpakai bagi kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti. Ia juga tidak merujuk kepada tempoh guna (shelf life) atau pun tempoh untuk luput (expiry).

To read this article in English, please click here.